Wednesday, May 1, 2013

KEBEBASAN MEDIA MEMBAWA KEBURUKAN KEPADA KEHARMONIAN NEGARA



“Sesebuah negara yang demokratik juga memaktubkan aspek kebebasan dalam perlembagaannya. Contohnya, Groves (1978:27) menyatakan, Perlembagaan Persekutuan memaktubkan sembilan aspek hak dan kebebasan. Satu daripadanya adalah mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan

“Dari Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia muliakan tetamunnya” (Sahih Bukhari)


Akhir-akhir ini, isu kebebasan media hangat diperdebatkan seantero negara. Kebangkitan rakyat yang diketuai oleh perwakilan pembangkang menuntut supaya Malaysia menggunakan kebebasan media sepenuhnya selaras sebagai sebuah Negara demokrasi. Ianya juga dikatakan selari dengan Hak manusia yang sudah digariskan oleh PBB di dalam deklarasi PBB 1942.

Namun begitu, pada pandangan penulis, ramai yang sudah khilaf untuk mentafsir nilai kebebasan ini. Ada antara kita yang menuntut untuk kebebasan ini diberikan secara mutlak. Ironinya, kita sedia maklum bahawa sudah termaktub di dalam perlembagaan Malaysia bahawa kebebasan ini memang diberikan selagi mana ia tidak bertentangan dengan perlembagaan. 


Tetapi, apabila kebebasan yang dituntut bersifat menidakkan akta-akta lain yang juga termaktub di bawah perlembagaan seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Fitnah dan sebagainya, maka adalah mustahil untuk dilaksanakan. Satu perkara yang kita sering dengar tetapi lupa adalah Hak Awam lebih penting berbanding Hak Individu. Bermaksud, hak keselamatan untuk semua orang sentiasa lebih utama berbanding Hak Bersuara Individu kerana keamanan, keselamatan, nyawa dan kesejahteraan adalah perkara tertinggi di dalam mana-mana perlembagaan didunia ini.


Menjelang PRU 13 pada ahad ini, pihak pembangkang menyatakan bahawa mereka akan memberikan kebebasan media sekiranya berjaya menguasai Putrajaya. Maka, penulis tampil untuk berbincang mengenai kesan buruk kepada keharmonian negara sekiranya kebebasan media ini dilaksanakan. Di dalam penulisan ini, kita akan fokus kepada beberapa isu yang telah terjadi dan menilai kepada realiti senario di Malaysia supaya perbincangan ini adil untuk mengkur kebenaran. 

Pertama sekali, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya. Tidak ada satu pun negara berbilang kaum di dunia ini yang berjaya hidup aman dan damai. Di Amerika Syarikat, isu warna kulit tetap menjadi faktor kepada kegagalan mereka membentuk perpaduan. 

DI Iraq, hanya kerana berbeza golongan menyebabkan mereka berperang saudara dan berbunuh-bunuhan iaitu antara puak Syiah dan Sunnah. Begitu juga isu penindasan masyarakat Islam di Selatan Thailand, orang Islam Rohingya,Myanmar dan Bangsa Moro di Filipina.


Disebabkan terdapat perbezaan agama dan budayalah menyebabkan mereka ini tidak boleh bersifat menerima diantara satu sama lain. Apatah lagi jika ada diantara kaum mereka dikritik, dihina atau disentuh oleh kaum lain,sudah tentu membawa kepada pergaduhan dan pertelingkahan. 


Di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berusaha untuk membentuk satu perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui program 1Malaysia. Nilai kesederhanaan, kenegaraan dan penerimaan di antara rakyat Malaysia mewakili satu nilai yang eksklusif untuk dunia mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang berjaya. 


Namun, saban hari kita melihat hakikatnya pembentukan 1Malaysia ini dihadang oleh anasir-anasir luar yang cuba memporak-perandakan keamanan yang ada melalui media baru terutamanya.Kebebasan media terutamanya di laman sosial dan blog sering digunakan kejalan yang salah. Alasannya mudah, ini adalah Hak Bersuara dan sebagai sebuah negara demokrasi kita membenarkan semua orang bersuara tanpa sebarang halangan. 





Kes pertama adalah melibatkan kes Raja Petra yang memfitnah Perdana Menteri yang dikatakan terbabit dengan kes Altantuya serta penulisannya yang berbentuk penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Melalaui penulisan serkap jarang itu, rakyat Malaysia kian hilang kepercayaan dan kesetiaan kepada golongan pemerintah. 


Akhirnya, keharmonian yang dibentuk terganggu. Masyarakat mula berpuak-puak dan bertindak diluar batasan seperti bertindak biadap menahan kereta sultan dan memburukan lagi keadaan dengan status-status baru di Facebook, Twitter dan Blog.





Kedua, adalah kes Aduka Taruna yang menghina Sultan Johor melalui hasil penulisan di blog. Lihat bagaimana kebebasan ini telah menghalalkan kepada sesiapa sahaja untuk menulis apa sahaja yang disukai tanpa perlu bertanggungjawab. Jika dulu, Sultan ini adalah orang yang dihormati dan disanjungi tetapi kini sudah ada yang mula berani bersuara dan mempersoalkan sultan. Adakah ini nilai kecerdikan yang mahu kita bentuk melalui kebebasan yang diberi? Akhirnya, kita cuma membentuk masyarakat yang biadap dan lupa diri. 




Sebab itu, kita harus sedar bahawa kebebasan media ini hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat yang sudah lama terbentuk selama ini. Ada diantara kita menilai bahawa sekatan-sekatan tertentu yang dikenakan ini hanya bersifat perlindungan buat kerajaan. Malah ianya merupakan senjata kerajaan untuk melemahkan pembangkang. Bagi penulis ianya mempunyai sebab tertentu mengapa perkara ini amat perlu dilaksanakan.


Jika perkara ini ditanyakan kepada mana-mana ahli politik dunia, ada 3 perkara terpenting dalam membentuk sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni. Pertama, perpaduan yang stabil dalam kalangan masyarakat. Kedua, ekonomi yang stabil yang mampu menarik minat pelabur-pelabur asing dan pelancong hadir ke dalam negara iatu Foreign Direct Investment (FDI) demi memacu ekonomi yang baik. Ketiga, politik yang stabil agar mampu mengawal kedua-dua perkara yang utama tersebut. 


Maka, jika kita berikan kebebasan kepada seluruh masyarakat untuk mengekspres setiap perkara tanpa sebarang sekatan, kita bimbang ianya bakal mengganggu kestabilan perpaduan, ekonomi dan politik yang merupakan elemen penting dalam memajukan negara. Adalah lebih malang lagi, sekiranya perkara ini berpunca daripada kelalaian kita menulis perkara tanpa berfikir panjang melalui media baru.





Ketiga, kes penghinaan terhadap Agama. Lihat sahaja bagaimana penghasilan sebuah video yang bertajuk the Innocent of Muslim. Penghinaan melampau orang Yahudi terhadap Agama Islam. Hampir seluruh dunia memboikat, mengadakan tunjuk perasaan dan tidak kurang yang mati ketika berdemostrasi menurut apa yang dilaporkan oleh CNN. 

Hal ini adalah disebabkan oleh kebebasan media yang mudah mempengaruhi masyarakat disaat semua perkara berada dihujung jari. Malaysia juga tidak terkecuali, perkara ini boleh berlaku pada bila-bila masa andaikata tidak ada yang mengawal rasa untuk bersuara dalam kalangan kita.


Sebagai contoh isu penghinaan beberapa rakyat Malaysia terhadap junjungan besar nabi Muhamad S.A.W. Sebagai contoh penulisan penghinaan seperti nabi Babi, sial dan sebagainya. Perkara ini semua boleh merosakkan perpaduan yang terbentuk dengan baik selama ini. Masyarakat Islam akan marah kerana penilaian negatif oleh golongan bukan islam sekalipun ianya mungkin hanya luahan dan pandangan segelintir masyarakat sahaja. 


Walaupun, sudah awal-awal lagi kita diajar untuk tidak pernah menyentuh isu agama, bangsa dan beberapa isu2 sensitif yang boleh menganggu gugat keharmonian negara, namun perkara ini dengan mudah terjadi di laman sesawang.Biarpun pantauan dan sekatan dapat dilakukan, namun perkara ini amat membimbangkan. Keadaan kian hari semakin meruncing. Sebab itulah timbulnya isu kepala babi dan lebih parah kini masyarakat berdepan pula dengan isu kalimah Allah. 


Sekiranya semua orang diberikan kuasa untuk bercakap mengenainya, akhir nanti kita pasti keadaan akan menjadi lebih parah.Kita tidak mahu peristiwa 13 MEI dan peristiwa Kampong Medan berulang. Apa yang kita perlukan adalah semangat perpaduan dan kehidupan sebagai rakyat 1malaysia yang cintakan tanah airnya serta dapat menerima antara satu sama lain.

Kesimpulannya, sebagai sebuah negara demokrasi, kita sememangnya mengangkat nilai kebebasan kepada individu untuk bercakap, mendapatkan maklumat, berhimpun dan hidup dalam keadaan selamat sepertimana yang sudah tercatat didalam perlembagaan PBB. Namun begitu, semua orang perlu faham bahawa kebebasan berkata-kata ini bukanlah bersifat mutlak. 

Malah, keselamatan awam sentiasa lebih utama berbanding hak individu. Sekiranya, untuk memenuhi hak seseorang individu tetapi terpaksa menggadai kepentingan awam, adalah amat wajar untuk kebebasan media ini tidak diberikan sepenuhnya.




Di dalam usaha negara mencapai status negara maju menjelang wawasan 2020, seluruh rakayat harus berganding bahu, bekerjasama dalam merealisasikan impian ini. Semoga, hasrat kita untuk melihat negara maju dan berjaya tercapai demi kesejahteraan anak cucu dan negara Malaysia tercinta.

Rujukan :
'Innocence of Muslims' Sparks Outrage - http://www.youtube.com/watch?v=9dqHt6gsoxU

No comments:

Pegawai Tadbir Diplomatik M41 - 2018

Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk berkongsi perkara yang patut anda semua tahu untuk berjaya menjawat jawatan Kadet PTD M41 STAGE...