Thursday, May 9, 2013

PEMIKIRAN LATERAL : BOLEH ATAU TIDAK PENILAIAN LANGKAH KERJA KERAJAAN DIPANTAU OLEH PEMBANGKANG

Kita sering diberitahu oleh pihak pembangkang bahawa kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional bergelumang dengan rasuah di dalam menguruskan kewangan dan pentadbiran negara. Persoalan yang bakal timbul adalah mengenai kesahihan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang tersebut.

Sebagai rakyat Malaysia yang hidup di dalam negara demokrasi, adalah wajar untuk setiap rakyat mengetahui semua perkara yang akan dijalankan, yang sedang dijalankan dan yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan secara keseluruhan kerana setiap anggota masyarakat mempuyai hak yang sama demi masa depan Malaysia tercinta.

Maka, penulis mahu mencadangkan supaya diwujudkan Suruhanjaya Penilai Langkah Kerja Kerajaan yang akan diketuai oleh Ketua Pembangkang bagi memantau kelancaran dan ketelusan langkah kerja yang telah dilaksanakan oleh kerajaan tersebut.

Secara tidak langsung, matlamat negara untuk bebas daripada masalah korupsi dan spekulasi akan dapat diselesaikan di samping memupuk masyarakat yang berintegriti.

Namun begitu, di dalam pelaksanaan langkah kerja ini, penulis merasakan terdapat beberapa perkara dan akta yang perlu dipatuhi oleh suruhanjaya ini agar objektif pewujudannya dapat mencapai matlamat dan tidak menganggu kelancaran pentadbiran pemerintah. Antaranya ialah, pihak penilai tidak boleh memberi komen atau turut serta dalam pelaksanaan kerja, pihak penilai tidak boleh membuat sebarang kenyataan secara terbuka selagi mana kes masih dalam siasatan dan pihak penilai perlu mendapatkan pandangan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) memandangkan organisasi ini adalah sebuah suruhanjaya yang berada di bawah kuasanya.

Sekiranya terdapat salah laku atau ketirisan, Ketua Suruhanjaya hendaklah membuat pemfailan petisyen terlebih dahulu dan menyediakan laporan bukti ke mahkamah bagi menyelesaikan sebarang kemelut yang berlaku sebelum mengeluarkan kenyataan media akan perkara-perkara tersebut.

Bagi penulis, isu yang lebih utama adalah masalah korupsi dan kita terlalu gemar berspekulasi. Tidak timbul soal siapa yang menjadi pemerintah kerana masing-masing akan sentiasa mempunyai peranan tersendiri. Masyakarat boleh terus percaya dan menilai kejayaan kerajaan selagi mana tiada sebarang laporan akhbar mengenai salah laku dalam pentadbiran dilaporkan. Malah, kita akan dapat membentuk satu nilai politik moden di mana tidak wujud perebutan kuasa Perdana Menteri, sebaliknya lebih bertunjangkan kepada aspek pembangunan ekonomi negara dan berjuang untuk kebajikan rakyat. 

No comments:

Pegawai Tadbir Diplomatik M41 - 2018

Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk berkongsi perkara yang patut anda semua tahu untuk berjaya menjawat jawatan Kadet PTD M41 STAGE...