Thursday, April 11, 2013

LAHAD DATU : DIMANA SILAP KITA?





Berbalik kepada pembunuhan wira-wira negara di Samporna, ada khabar angin yang menceritakan bahawa polis-polis ini sebenarnya telah diperangkap terlebih dahulu. Ada juga blogger yang kurang beretika menyebarkan maklumat bahawa polis-polis tersebut sebelum itu telah didera dengan teruk dan dibunuh dengan kejam. Gambar-gambar polis dan video karut terus disebar luas menerusi laman blog masing-masing. Sudah menjadi adat blogger, siapa yang paling kehadapan dialah sang juara. Video seorang lelaki yang dikerat jari dan dikelar leher juga tersebar meluas keseluruh negara. Facebook dan laman twitter tidak pernah senggang bercerita perkara yang sama malah menjadi “trending” untuk seketika dilaman twitter. Kononnya, itulah salah seorang polis yang didera dengan teruk dan dibunuh kejam oleh pengganas-pengganas Kesultanan Sulu tersebut. 

Namun, selepas penulis meneliti, rupa-rupanya lelaki di dalam video tersebut bukanlah anggota polis kita yang terbunuh tetapi satu rakaman video di luar negara yang melibatkan warga Mexico. Malah, banyak gambar-gambar yang dimuat turun ke laman blog masing-masing bukanlah perkara sebenar akan apa yang terjadi di kawasan bergolak Lahad Datu ini. Maka, secara tidak langsung penulis boleh membuat kesimpulan yang sebenarnya isu Lahad Datu ini bukan sahaja kritikal di medan peperangan malah lebih kritikal di laman sosial yang menyebarkan berita-berita palsu, spekulasi dan tidak benar untuk membobrokkan lagi suasana. Lantaran itu, penulis tampil untuk memberikan sedikit pandangan terhadap sikap masyarakat yang kurang baik dalam negara mengahadapi masalah kronik seperti peperangan dan isu keselamatan yang berlaku terutamanya melibatkan Lahad datu ini.

            Pertama sekali adalah tindakan masyarakat yang menggesa kerajaaan bercerita tentang perkara sebenar. Penulis tertanya-tanya, apakah perkara sebenar yang dituntut oleh masyarakat? Bukankah media sudah melaporkan bahawa waris Kesultanan Sulu sedang menuntut Sabah daripada kita? Minda penulis ligat memikirkan tentang perkara ini. Akhirnya barulah penulis faham mengapa perkara ini timbul. Lihat sahaja beberapa blog yang gigih dan giat bercerita tentang isu Lahad Datu. Anda boleh melayari beberapa laman sesawang seperti Malaysiakini, MalaysianInsider dan pelbagai lagi yang menyatakan bahawa apa yang berlaku di Lahad Datu adalah sandiwara kerajaan (Barisan Nasional). Ada juga yang menaikkan status dilaman sosial supaya rakyat jangan percaya akan apa yang dikhabarkan oleh media. Sebab itulah kalau anda lihat begitu ramai masyarakat seolah-olah menjadi mainan politik golongan tidak bertanggungjawab ini. Termasuklah beberapa artis yang tidak sepandangan dan bersifat tidak professional dengan melemparkan kata-kata berbaur hasutan supaya masyarakat terus menunding jari kepada kerajaan. Ada juga yang membuat perhimpunan supaya kerajaan tampil memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban. Bagi penulis, mereka yang hanya pandai bercakap ini dan itu, namun amatlah tidak membantu dalam menyelesaikan konflik tersebut. Malah, kewujudan mereka ini hanya menyesakkan lagi keadaan. Seolah-olah mereka lebih bijak dalam semua hal dan perkara.
           

          Jawapan penulis kepada pemikiran politik yang radikal  seperti ini adalah mudah. Sekiranya perkara ini berlaku ditempat anda, apakah langkah yang lebih bijak untuk kita lakukan? Adakah mereka berasa kematian dan nyawa merupakan satu permainan biasa? Adakah mereka ini lebih mengetahui akan semua perkara melebihi daripada apa yang patut dilakukan oleh ketenteraan Malaysia dalam menghadapi pencerobohan tersebut. Sifat menghasut masyarakat adalah perbuatan keji yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak-pihak tertentu demi mencapai matlamat tersembunyi terutamanya apabila berkait dengan isu keselamatan dan ketenteraan. Jangan  kerana kepentingan peribadi semua perkara boleh dipolitikkan. Penulis yakin, sebenarnya mereka tahu dan faham bahawa Malaysia sedang berdepan dengan perkara yang agak getir. Jadi, tidak sepatutnya mereka menggunakan hak bersuara yang diberi dengan jalan yang salah. Tahukan anda, apabila kita berdepan dengan isu yang melibatkan keselamatan dan ketenteraan seperti ini, banyak hal lain perlu untuk dijadikan perkara kedua. Dalam apa jua keadaan, keselamatan adalah perkara yang utama. Malah, jika kita mahu menarik seketika hak bersuara sekalipun adalah wajar demi memastikan nyawa dan keselamatan menjadi keutamaan.

       Mungkin masih ramai yang tidak tahu apakah sebenarnya perkara yang perlu dilakukan oleh kita apabila menghadapi peperangan. Pertama sekali mengenai maklumat. Adalah wajib dan tidak boleh tidak untuk kita percaya dan mendengar arahan daripada tiga pihak sahaja iaitu tentera, polis dan kerajaan yang sedang memerintah. Adalah haram untuk kita menerima dan percaya kepada maklumat-maklumat lain selain daripada tiga sumber ini. Ini penting bagi mengurangkan situasi tegang dan panik. Adalah haram juga untuk kita menyebarkan semua maklumat ini kepada orang luar. Memanglah secara lahiriahnya kita tidak berkongsi maklumat tetapi apabila ianya dengan mudah dikongsikan di dalam laman sosial dan blog, secara tidak langsung ia sudah pun dikongsikan dengan orang luar. Adakah anda terlupa, bahawa kita berada di zaman teknologi tinggi? Adakah anda terlupa bahawa Jacel Kiram sendiri pun mempunyai laman twitter. 

       Maka, sifat menaik muat maklumat ini bukanlah satu jalan bijak. Ini hanya melemahkan serangan dan strategi yang sudah dirancang oleh Malaysia. Namun, apabila kerajaan cuba merahsiakan beberapa perkara seperti ini, naik pula status-status menunding jari kepada kerajaan seumpama kita ini lambat bertindak dan menuntut untuk tahu apakah langkah yang bakal diambil dan sebagainya. Ini semua amat menyukarkan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku. Nasihat daripada penulis, cukuplah buat seketika ini untuk kita menerima berita apa yang telah berlaku melalui media massa seperti surat khabar dan televisyen. Usahlah anda semua mempertikaikan berita yang disampaikan kerana pengamal media dan wartawan mempuyaia etika tersendiri dalam melaporkan berita buat pengetahuan. Hak mendapatkan maklumat memang hak rakyat tetapi bukan semua maklumat sehinggakan penulis berasa seolah-olah untuk melancarkan perang pun perlu mendapatkan kebenaran daripada rakyat. Ini tidak betul sama sekali. Malah, demi hak keselamatan, kesemua hak-hak yang lain boleh sahaja ditarik untuk seketika. Ianya memang wajar dilakukan. Keselamatan sentiasa perlu menjadi keutamaan.

            Pandangan kedua penulis masih berbolak balik tentang media sosial. Tanggapan masyakarakat yang teruk terhadap anggota keselamatan umpama sudah sebati dalam jiwa segelintir masyarakat kita. Mereka melihat polis ini sebagai apa sebenarnya? Sehinggakan ada yang sanggup menggelar polis dan tentera sebagai “anjing kerajaan” dan gugurnya perwira negara sebagai “mati katak”. Adakah golongan mereka ini sudah hilang akal? Sudahlah dengan tindakan mereka sebelum ini yang membentuk persepsi bahawa polis sebagai musuh rakyat melalui beberapa demostrasi jalanan dan perhimpunan. Sebenarnya, daripada manakah terbentuknya stigma negatif ini? Masyarakat memandang hina kepada polis yang mana selama ini merupakan hero buat negara. Lihat sahaja apa yang ditulis oleh Cikgu Lothfi melalui laman sosial facebook beliau yang menulis tentang polis di Lahad Datu. Adakah ini sikap rakyat Malaysia yang tahu membalas jasa anggota keselamatan kita? Penulis amat kecewa kalau inilah perkara yang menjadi tunjang pegangan rakyat Malaysia. Penulis amat berharap melalui penulisan tidak seberapa ini, ramai antara kita dapat merenung kembali dan berfikir sejenak untuk menilai perkara ini dengan lebih matang. Andai polis yang kita angkat sebagai hero ini pun tidak pernah kita hargai, apalah nilai kita di atas bumi tercinta ini. Jangan dipersoalkan apa yang negara sumbang untuk kita semata-mata, tetapi renunglah apa yang kita sumbangkan buat negara kerana polis-polis ini besar sumbangannya kepada kita.

            Tidak kurang juga dengan sifat yang cuba ditonjolkan oleh beberapa pemimpin hebat yang pernah penulis angkat sebelum ini. Misalnya, ahli parlimen kawasan penulis sendiri iaitu Batu Pahat,Tian Chua. Penulis amat terkejut apabila beliau juga bercerita bagaimana semua polis yang mati tersebut adalah sandiwara semata-mata dan kononya ini hanya umpan kerajaan dalam memenangi pilihanraya umum yang ke-13 nanti. Apakah sebenarnya motif beliau untuk berkata sedemikian?  Katanya, dia sendiri sudah pun turun sendiri ke Lahad Datu sebelum ini.. Jadi, apakah perkara yang ingin dibuktikan? Isu Lahad Datu ini memang benar-benar terjadi. Walhal media luar negara sudah berasak-asak bercerita tentang konflik di Lahad Datu, tetapi Tian Chua masih memujuk rakyat untuk terus jangan percaya akan isu ini. Habis seluruh sejarah Malaysia anda bongkarkan kembali. Sehinggakan isu perumahan atas air juga menjadi umpan pancingan undi. Penulis amat mengecam tindakan pemimpin seperti ini. Adakah begini sikap seorang pemimpin yang mahu menerajui negara? Tidakkah beliau sedar bahawa tindakan beliau hanya mengeruhkan lagi suasana? Tidakkah dia sedang cuba menghasut rakyat? Andaikata tindakan diambil ke atasnya di bawah Akta Hasutan, adakah ianya salah? Penulis yakin, jika tindakan di ambil maka ramailah pengikut taksub Tian Chua ini kembali berhimpun untuk protes dan menuntut pembebasan pemimpin porok ini. Memang amat menyedihkan kerana kemodenan politik rakyat Malaysia masih kuno untuk menilai.


            Ketiga, persoalan tentang mengapa Polis diletakkan di barisan hadapan “front-line”. Bagi penulis, kita perlu faham kronologi bagaimana perkara ini terjadi untuk tahu siapakah yang patut berada di “front line”, sama ada polis atau tentera untuk mengatasi masalah tersebut. Begini, kerajaan sudah memutuskan bahawa apa sahaja yang melibatkan isu keselamatan dalam negara adalah di bawah tanggungjawab Polis manakala sebarang serangan daripada luar negara adalah di bawah tanggungjawab tentera. Namun, dalam isu Lahad Datu ini, kedatangan mereka(pengikut Jamalul Kiram III) pada mulanya adalah sebagai penceroboh. Kita belum memandang mereka ini sebagai pengganas kerana mereka hanya menceroboh. Pada asasnya, kehadiran mereka ini sama sahaja dengan pendatang haram tanpa izin(PATI) kerana PATI ini juga bersifat menceroboh. Jadi, adakah wajar kalau Malaysia menurunkan tentera untuk membasmi penceroboh dan pendatang haram? Sudah semestinya tidak kerana menurunkan tentera dilihat sebagai sesuatu yang berat di mata dunia. Malah, apabila tentera diturunkan, keadaan keselamatan negara adalah menghampiri situasi darurat. Adakah apabila ada pencerobohan kita sudah darurat? Sudah tentunya tidak. Maka, sebab itulah pada mulanya polis diletakkan terlebih dahulu untuk mengawal keselamatan di Lahad Datu. Kemudian, apabila ada polis yang terbunuh, secara automatik mereka ini tidak lagi boleh dianggap sebagai penceroboh tetapi sudah boleh dianggap sebagai pengganas. Di saat inilah, kita layak untuk mengerah tentera bagi berdepan dengan pengganas-pengganas Sultan Sulu tersebut. Bukan maksud penulis apabila ada kematian polis barulah kita mahu bertindak. Tetapi, ini adalah prosedur yang paling efektif. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mengangkat deklarasi bersama PBB. Kita cukup berdiplomasi. Hatta dalam peperangan sekalipun, kita masih mempunyai etika perang yang perlu dipatuhi demi menjaga Hak Asasi masing-masing. Penulis berharap, rakyat Malaysia tidak lagi bersifat buruk sangka untuk menghukum kematian anggota keselamatan kita sebagai satu kesilapan percaturan. Ingatlah dan percayalah kepada kemampuan Polis Diraja Malaysia. Mereka juga hebat dan bukannya begitu mudah untuk dipatahkan.

            Kesimpulannya, isu Lahad Datu ini bukanlah perkara biasa. Ianya jarang sekali berlaku di Malaysia. Mungkin ini adalah ujian buat kita kerana sudah terlalu lama hidup aman dan damai. Kepada keluarga anggota keselamatan negara yang gugur di medan perang, penulis mengucapkan beribu takziah. Kalian harus berbangga kerana kematian wira-wira negara tersebut akan terus gah di dalam lipatan sejarah dan sanubari kita. Masyarakat Malaysia yang sememangnya maju dengan teknologi internet dan informasi, janganlah melatah apabila situasi begini terjadi. Dengar dan fahamkan segala arahan, kurangkan untuk berasa panik dan jangan sesekali menyebarkan maklumat tidak benar mahupun spekulasi. Teruskanlah untuk mengangkat keselamatan sebagai hak tertinggi sekalipun kita perlu berdiam diri dan menerima apa sahaja yang diberi. Penulis juga berharap, Jamalul Kiram III dan keluarga akan sedar bahawa Sabah ini bukan lagi milik mereka. Hentikanlah angan-angan anda. Kami(rakyat Malaysia) sudah lama membangun tanpa anda. Salam sayang buat seluruh rakyat Malaysia, bersatu kita berjuang selagi semboyan masih berbunyi. 1Malaysia ke medan bakti. 

No comments:

Pegawai Tadbir Diplomatik M41 - 2018

Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk berkongsi perkara yang patut anda semua tahu untuk berjaya menjawat jawatan Kadet PTD M41 STAGE...