Kita sering diberitahu oleh pihak pembangkang
bahawa kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional bergelumang dengan rasuah di
dalam menguruskan kewangan dan pentadbiran negara. Persoalan yang bakal timbul
adalah mengenai kesahihan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang
tersebut.
Sebagai rakyat Malaysia yang hidup di
dalam negara demokrasi, adalah wajar untuk setiap rakyat mengetahui semua
perkara yang akan dijalankan, yang sedang dijalankan dan yang telah dijalankan
oleh pihak kerajaan secara keseluruhan kerana setiap anggota masyarakat
mempuyai hak yang sama demi masa depan Malaysia tercinta.
Maka, penulis mahu mencadangkan supaya
diwujudkan Suruhanjaya Penilai Langkah Kerja Kerajaan yang akan diketuai oleh
Ketua Pembangkang bagi memantau kelancaran dan ketelusan langkah kerja yang
telah dilaksanakan oleh kerajaan tersebut.
Secara tidak langsung, matlamat negara
untuk bebas daripada masalah korupsi dan spekulasi akan dapat diselesaikan di samping
memupuk masyarakat yang berintegriti.
Namun begitu, di dalam pelaksanaan
langkah kerja ini, penulis merasakan terdapat beberapa perkara dan akta yang
perlu dipatuhi oleh suruhanjaya ini agar objektif pewujudannya dapat mencapai
matlamat dan tidak menganggu kelancaran pentadbiran pemerintah. Antaranya
ialah, pihak penilai tidak boleh memberi komen atau turut serta dalam pelaksanaan
kerja, pihak penilai tidak boleh membuat sebarang kenyataan secara terbuka selagi mana kes masih dalam siasatan dan pihak
penilai perlu mendapatkan pandangan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) memandangkan
organisasi ini adalah sebuah suruhanjaya yang berada di bawah kuasanya.
Sekiranya terdapat salah laku atau
ketirisan, Ketua Suruhanjaya hendaklah membuat pemfailan petisyen terlebih
dahulu dan menyediakan laporan bukti ke mahkamah bagi menyelesaikan sebarang
kemelut yang berlaku sebelum mengeluarkan kenyataan media akan perkara-perkara
tersebut.
Bagi penulis, isu yang lebih utama
adalah masalah korupsi dan kita terlalu gemar berspekulasi. Tidak timbul soal
siapa yang menjadi pemerintah kerana masing-masing akan sentiasa mempunyai
peranan tersendiri. Masyakarat boleh terus percaya dan menilai kejayaan
kerajaan selagi mana tiada sebarang laporan akhbar mengenai salah laku dalam
pentadbiran dilaporkan. Malah, kita akan dapat membentuk satu nilai politik moden
di mana tidak wujud perebutan kuasa Perdana Menteri, sebaliknya lebih
bertunjangkan kepada aspek pembangunan ekonomi negara dan berjuang untuk kebajikan rakyat.
No comments:
Post a Comment