Berbalik kepada pembunuhan wira-wira
negara di Samporna, ada khabar angin yang menceritakan bahawa polis-polis ini
sebenarnya telah diperangkap terlebih dahulu. Ada juga blogger yang kurang
beretika menyebarkan maklumat bahawa polis-polis tersebut sebelum itu telah
didera dengan teruk dan dibunuh dengan kejam. Gambar-gambar polis dan video
karut terus disebar luas menerusi laman blog masing-masing. Sudah menjadi adat
blogger, siapa yang paling kehadapan dialah sang juara. Video seorang lelaki
yang dikerat jari dan dikelar leher juga tersebar meluas keseluruh negara.
Facebook dan laman twitter tidak pernah senggang bercerita perkara yang sama
malah menjadi “trending” untuk seketika dilaman twitter. Kononnya, itulah salah
seorang polis yang didera dengan teruk dan dibunuh kejam oleh
pengganas-pengganas Kesultanan Sulu tersebut.
Namun, selepas penulis meneliti,
rupa-rupanya lelaki di dalam video tersebut bukanlah anggota polis kita yang
terbunuh tetapi satu rakaman video di luar negara yang melibatkan warga Mexico.
Malah, banyak gambar-gambar yang dimuat turun ke laman blog masing-masing
bukanlah perkara sebenar akan apa yang terjadi di kawasan bergolak Lahad Datu
ini. Maka, secara tidak langsung penulis boleh membuat kesimpulan yang sebenarnya
isu Lahad Datu ini bukan sahaja kritikal di medan peperangan malah lebih
kritikal di laman sosial yang menyebarkan berita-berita palsu, spekulasi dan
tidak benar untuk membobrokkan lagi suasana. Lantaran itu, penulis tampil untuk
memberikan sedikit pandangan terhadap sikap masyarakat yang kurang baik dalam
negara mengahadapi masalah kronik seperti peperangan dan isu keselamatan yang
berlaku terutamanya melibatkan Lahad datu ini.
Pertama
sekali adalah tindakan masyarakat yang menggesa kerajaaan bercerita tentang
perkara sebenar. Penulis tertanya-tanya, apakah perkara sebenar yang dituntut
oleh masyarakat? Bukankah media sudah melaporkan bahawa waris Kesultanan Sulu
sedang menuntut Sabah daripada kita? Minda penulis ligat memikirkan tentang
perkara ini. Akhirnya barulah penulis faham mengapa perkara ini timbul. Lihat
sahaja beberapa blog yang gigih dan giat bercerita tentang isu Lahad Datu. Anda
boleh melayari beberapa laman sesawang seperti Malaysiakini, MalaysianInsider
dan pelbagai lagi yang menyatakan bahawa apa yang berlaku di Lahad Datu adalah
sandiwara kerajaan (Barisan Nasional). Ada juga yang menaikkan status dilaman
sosial supaya rakyat jangan percaya akan apa yang dikhabarkan oleh media. Sebab
itulah kalau anda lihat begitu ramai masyarakat seolah-olah menjadi mainan
politik golongan tidak bertanggungjawab ini. Termasuklah beberapa artis yang tidak
sepandangan dan bersifat tidak professional dengan melemparkan kata-kata
berbaur hasutan supaya masyarakat terus menunding jari kepada kerajaan. Ada
juga yang membuat perhimpunan supaya kerajaan tampil memohon maaf secara
terbuka kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban. Bagi
penulis, mereka yang hanya pandai bercakap ini dan itu, namun amatlah tidak
membantu dalam menyelesaikan konflik tersebut. Malah, kewujudan mereka ini
hanya menyesakkan lagi keadaan. Seolah-olah mereka lebih bijak dalam semua hal
dan perkara.
Jawapan
penulis kepada pemikiran politik yang radikal seperti ini adalah mudah. Sekiranya perkara
ini berlaku ditempat anda, apakah langkah yang lebih bijak untuk kita lakukan? Adakah
mereka berasa kematian dan nyawa merupakan satu permainan biasa? Adakah mereka
ini lebih mengetahui akan semua perkara melebihi daripada apa yang patut
dilakukan oleh ketenteraan Malaysia dalam menghadapi pencerobohan tersebut.
Sifat menghasut masyarakat adalah perbuatan keji yang tidak sepatutnya
dilakukan oleh pihak-pihak tertentu demi mencapai matlamat tersembunyi
terutamanya apabila berkait dengan isu keselamatan dan ketenteraan. Jangan kerana kepentingan peribadi semua perkara
boleh dipolitikkan. Penulis yakin, sebenarnya mereka tahu dan faham bahawa
Malaysia sedang berdepan dengan perkara yang agak getir. Jadi, tidak sepatutnya
mereka menggunakan hak bersuara yang diberi dengan jalan yang salah. Tahukan
anda, apabila kita berdepan dengan isu yang melibatkan keselamatan dan
ketenteraan seperti ini, banyak hal lain perlu untuk dijadikan perkara kedua.
Dalam apa jua keadaan, keselamatan adalah perkara yang utama. Malah, jika kita
mahu menarik seketika hak bersuara sekalipun adalah wajar demi memastikan nyawa
dan keselamatan menjadi keutamaan.
Mungkin
masih ramai yang tidak tahu apakah sebenarnya perkara yang perlu dilakukan oleh
kita apabila menghadapi peperangan. Pertama sekali mengenai maklumat. Adalah wajib
dan tidak boleh tidak untuk kita percaya dan mendengar arahan daripada tiga
pihak sahaja iaitu tentera, polis dan kerajaan yang sedang memerintah. Adalah
haram untuk kita menerima dan percaya kepada maklumat-maklumat lain selain
daripada tiga sumber ini. Ini penting bagi mengurangkan situasi tegang dan
panik. Adalah haram juga untuk kita menyebarkan semua maklumat ini kepada orang
luar. Memanglah secara lahiriahnya kita tidak berkongsi maklumat tetapi apabila
ianya dengan mudah dikongsikan di dalam laman sosial dan blog, secara tidak
langsung ia sudah pun dikongsikan dengan orang luar. Adakah anda terlupa,
bahawa kita berada di zaman teknologi tinggi? Adakah anda terlupa bahawa Jacel
Kiram sendiri pun mempunyai laman twitter.
Maka, sifat menaik muat maklumat ini
bukanlah satu jalan bijak. Ini hanya melemahkan serangan dan strategi yang
sudah dirancang oleh Malaysia. Namun, apabila kerajaan cuba merahsiakan
beberapa perkara seperti ini, naik pula status-status menunding jari kepada kerajaan
seumpama kita ini lambat bertindak dan menuntut untuk tahu apakah langkah yang
bakal diambil dan sebagainya. Ini semua amat menyukarkan dalam menyelesaikan
konflik yang berlaku. Nasihat daripada penulis, cukuplah buat seketika ini untuk
kita menerima berita apa yang telah berlaku melalui media massa seperti surat
khabar dan televisyen. Usahlah anda semua mempertikaikan berita yang
disampaikan kerana pengamal media dan wartawan mempuyaia etika tersendiri dalam
melaporkan berita buat pengetahuan. Hak mendapatkan maklumat memang hak rakyat
tetapi bukan semua maklumat sehinggakan penulis berasa seolah-olah untuk
melancarkan perang pun perlu mendapatkan kebenaran daripada rakyat. Ini tidak
betul sama sekali. Malah, demi hak keselamatan, kesemua hak-hak yang lain boleh
sahaja ditarik untuk seketika. Ianya memang wajar dilakukan. Keselamatan sentiasa
perlu menjadi keutamaan.
Pandangan
kedua penulis masih berbolak balik tentang media sosial. Tanggapan masyakarakat
yang teruk terhadap anggota keselamatan umpama sudah sebati dalam jiwa segelintir
masyarakat kita. Mereka melihat polis ini sebagai apa sebenarnya? Sehinggakan
ada yang sanggup menggelar polis dan tentera sebagai “anjing kerajaan” dan
gugurnya perwira negara sebagai “mati katak”. Adakah golongan mereka ini sudah
hilang akal? Sudahlah dengan tindakan mereka sebelum ini yang membentuk persepsi
bahawa polis sebagai musuh rakyat melalui beberapa demostrasi jalanan dan
perhimpunan. Sebenarnya, daripada manakah terbentuknya stigma negatif ini?
Masyarakat memandang hina kepada polis yang mana selama ini merupakan hero buat
negara. Lihat sahaja apa yang ditulis oleh Cikgu Lothfi melalui laman sosial
facebook beliau yang menulis tentang polis di Lahad Datu. Adakah ini sikap
rakyat Malaysia yang tahu membalas jasa anggota keselamatan kita? Penulis amat
kecewa kalau inilah perkara yang menjadi tunjang pegangan rakyat Malaysia.
Penulis amat berharap melalui penulisan tidak seberapa ini, ramai antara kita
dapat merenung kembali dan berfikir sejenak untuk menilai perkara ini dengan
lebih matang. Andai polis yang kita angkat sebagai hero ini pun tidak pernah
kita hargai, apalah nilai kita di atas bumi tercinta ini. Jangan dipersoalkan
apa yang negara sumbang untuk kita semata-mata, tetapi renunglah apa yang kita
sumbangkan buat negara kerana polis-polis ini besar sumbangannya kepada kita.
Tidak
kurang juga dengan sifat yang cuba ditonjolkan oleh beberapa pemimpin hebat
yang pernah penulis angkat sebelum ini. Misalnya, ahli parlimen kawasan penulis
sendiri iaitu Batu Pahat,Tian Chua. Penulis amat terkejut apabila beliau juga
bercerita bagaimana semua polis yang mati tersebut adalah sandiwara semata-mata
dan kononya ini hanya umpan kerajaan dalam memenangi pilihanraya umum yang
ke-13 nanti. Apakah sebenarnya motif beliau untuk berkata sedemikian? Katanya, dia sendiri sudah pun turun sendiri
ke Lahad Datu sebelum ini.. Jadi, apakah perkara yang ingin dibuktikan? Isu
Lahad Datu ini memang benar-benar terjadi. Walhal media luar negara sudah
berasak-asak bercerita tentang konflik di Lahad Datu, tetapi Tian Chua masih
memujuk rakyat untuk terus jangan percaya akan isu ini. Habis seluruh sejarah
Malaysia anda bongkarkan kembali. Sehinggakan isu perumahan atas air juga
menjadi umpan pancingan undi. Penulis amat mengecam tindakan pemimpin seperti
ini. Adakah begini sikap seorang pemimpin yang mahu menerajui negara? Tidakkah beliau
sedar bahawa tindakan beliau hanya mengeruhkan lagi suasana? Tidakkah dia
sedang cuba menghasut rakyat? Andaikata tindakan diambil ke atasnya di bawah
Akta Hasutan, adakah ianya salah? Penulis yakin, jika tindakan di ambil maka
ramailah pengikut taksub Tian Chua ini kembali berhimpun untuk protes dan
menuntut pembebasan pemimpin porok ini. Memang amat menyedihkan kerana
kemodenan politik rakyat Malaysia masih kuno untuk menilai.
Ketiga,
persoalan tentang mengapa Polis diletakkan di barisan hadapan “front-line”.
Bagi penulis, kita perlu faham kronologi bagaimana perkara ini terjadi untuk
tahu siapakah yang patut berada di “front line”, sama ada polis atau tentera untuk
mengatasi masalah tersebut. Begini, kerajaan sudah memutuskan bahawa apa sahaja
yang melibatkan isu keselamatan dalam negara adalah di bawah tanggungjawab
Polis manakala sebarang serangan daripada luar negara adalah di bawah
tanggungjawab tentera. Namun, dalam isu Lahad Datu ini, kedatangan mereka(pengikut
Jamalul Kiram III) pada mulanya adalah sebagai penceroboh. Kita belum memandang
mereka ini sebagai pengganas kerana mereka hanya menceroboh. Pada asasnya, kehadiran
mereka ini sama sahaja dengan pendatang haram tanpa izin(PATI) kerana PATI ini
juga bersifat menceroboh. Jadi, adakah wajar kalau Malaysia menurunkan tentera
untuk membasmi penceroboh dan pendatang haram? Sudah semestinya tidak kerana
menurunkan tentera dilihat sebagai sesuatu yang berat di mata dunia. Malah,
apabila tentera diturunkan, keadaan keselamatan negara adalah menghampiri situasi
darurat. Adakah apabila ada pencerobohan kita sudah darurat? Sudah tentunya
tidak. Maka, sebab itulah pada mulanya polis diletakkan terlebih dahulu untuk
mengawal keselamatan di Lahad Datu. Kemudian, apabila ada polis yang terbunuh,
secara automatik mereka ini tidak lagi boleh dianggap sebagai penceroboh tetapi
sudah boleh dianggap sebagai pengganas. Di saat inilah, kita layak untuk mengerah
tentera bagi berdepan dengan pengganas-pengganas Sultan Sulu tersebut. Bukan
maksud penulis apabila ada kematian polis barulah kita mahu bertindak. Tetapi,
ini adalah prosedur yang paling efektif. Malaysia adalah sebuah negara
demokrasi yang mengangkat deklarasi bersama PBB. Kita cukup berdiplomasi. Hatta
dalam peperangan sekalipun, kita masih mempunyai etika perang yang perlu
dipatuhi demi menjaga Hak Asasi masing-masing. Penulis berharap, rakyat
Malaysia tidak lagi bersifat buruk sangka untuk menghukum kematian anggota
keselamatan kita sebagai satu kesilapan percaturan. Ingatlah dan percayalah
kepada kemampuan Polis Diraja Malaysia. Mereka juga hebat dan bukannya begitu
mudah untuk dipatahkan.
Kesimpulannya,
isu Lahad Datu ini bukanlah perkara biasa. Ianya jarang sekali berlaku di
Malaysia. Mungkin ini adalah ujian buat kita kerana sudah terlalu lama hidup
aman dan damai. Kepada keluarga anggota keselamatan negara yang gugur di medan
perang, penulis mengucapkan beribu takziah. Kalian harus berbangga kerana
kematian wira-wira negara tersebut akan terus gah di dalam lipatan sejarah dan
sanubari kita. Masyarakat Malaysia yang sememangnya maju dengan teknologi
internet dan informasi, janganlah melatah apabila situasi begini terjadi.
Dengar dan fahamkan segala arahan, kurangkan untuk berasa panik dan jangan
sesekali menyebarkan maklumat tidak benar mahupun spekulasi. Teruskanlah untuk
mengangkat keselamatan sebagai hak tertinggi sekalipun kita perlu berdiam diri dan
menerima apa sahaja yang diberi. Penulis juga berharap, Jamalul Kiram III dan
keluarga akan sedar bahawa Sabah ini bukan lagi milik mereka. Hentikanlah
angan-angan anda. Kami(rakyat Malaysia) sudah lama membangun tanpa anda. Salam sayang
buat seluruh rakyat Malaysia, bersatu kita berjuang selagi semboyan masih
berbunyi. 1Malaysia ke medan bakti.
No comments:
Post a Comment